Rabu, Disember 30, 2009

Dusta atas nama Nabi, siap tempat duduk di Neraka!

Oleh : Ahyimy
"Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka”.
Jika sekali fikir, melihat kepada hadis tersebut di atas, kita berpendapat tidak ada orang yang beriman kepada Hari Akhirat akan melakukan pendustaan kepada Rasulullah S.A.W kerana ancaman yang keras dari Rasul S.A.W sendiri iaitu "menyiapkan tempat duduknya dalam neraka". Namun apa yang berlaku hari ini amat menyedihkan. Masyarakat seolah-olah tidak mengendahkan ancaman ini walaupun perkara ini datangnya dari Rasul S.A.W sendiri.
Mungkin mereka yang melakukan pendustaan atas nama Rasul S.A.W ini tidak sedar/tidak tahu bahawa hadis ini bermaksud sebarang perkara/hal/keadaan yang disandarkan kepada Muhammad S.A.W samada berkaitan perangai Rasul S.A.W, perkataan Rasul S.A.W, Taqrir (ketetapan) Rasul S.A.W dan/atau sifat-sifat Rasul S.A.W. Pendek kata apa-apa jua yang disandarkan kepada Rasul S.A.W. Jika salah satu/ semua yang disandarkan kepada Rasul S.A.W itu adalah sesuatu yang dusta samada sebahagiannya atau seluruhnya, ianya adalah termasuk ke dalam hadis tersebut di atas. (Semoga Allah mengampunkan kita dan menunjukkan kita kepada jalanNya yang lurus.)
Kerap kita mendengar apabila seseorang mahu menguatkan hujahnya berkenaan menuntut ilmu, maka salah satu hadis yang popular untuk dijadikan hujah adalah "Tuntutlah ilmu walau sampai ke negeri Cina". Sedangkan Hadis ini adalah palsu/maudhuk. Ianya bukanlah perkataan Rasul S.A.W.

Rasulullah S.A.W juga bersabda maksudnya "cukup seseorang itu menjadi pendusta dengan ia menyampaikan apa saja yang ia dengar". Apabila Rasul s.a.w bersabda demikian maksudnya Baginda S.A.W mahukan supaya ummahnya menjadi ummah yang meneliti sesuatu perkara tersebut sebelum menyampaikan kepada sesiapa sesuatu informasi itu supaya kita tidak menimpakan kepada sesuatu kaum/orang itu kezaliman.

Pembersihan sumber Ilmu

Kewajipan Memeriksa Sumber Ilmu
oleh : ahyimy
بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله، نحمده ونستعينه، ونستغفره، ونعوذ بالله من شرور أنفسنا، ومن سيئات أعمالنا، من يهده اللهُ فلا مُضِلَّ له، ومن يضلل فلا هادي له، وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، وأشهد أن محمدا عبده ورسوله، أما بعد:
Sejak Allah mengutus hamba dan RasulNya Muhammad S.A.W, telah berlalu 1400 tahun lebih tahun tersebut dari kita. Penetapan kesempurnaan agama "Keselamatan/Kesejahteraan" iaitu dalam bahasa Arabnya Islam.
Saya tertarik dengan satu ceramah agama yang saya dengar berkenaan Ilmu Islam ini. Kata penceramah tersebut, Ilmu Islam ini ialah ibarat air yang dilepaskan dari empangan. Air ini akan melalui sungai-sungai dan membawa bersamanya segala kotoran dan sampah-sarap yang ada disepanjang laluan sungai tersebut. Sehingga mereka yang berada dihujung sungai akan melihat bahawa air yang mengalir disungai ini kotor. Padahal yang kotor sebenarnya bukanlah air yang berasal dari empangan tersebut tetapi kotoran-kotoran yang dibawa bersama oleh air empangan berkenaan semasa melalui sungai itu.
Begitulah juga dengan Ilmu Islam yang sampai kepada kita pada hari ini. Jika kita tidak mengambil Ilmu Islam yang asal sebagaimana yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W kira-kira 1400 tahun dahulu, maka Ilmu Islam yang akan kita bawa adalah Ilmu Islam yang telah dicemari dengan pelbagai kotoran. Untuk mendapat Ilmu Islam yang tulen sebagaimana yang terdapat 1400 tahun lebih dahulu, hanya ada satu cara. TIADA YANG KEDUA. HANYA ADA SATU CARA. Iaitu sebagaimana pesan Rasulullah S.A.W "aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, jika kamu berpegang kepada kedua-duanya kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitu AlQuran dan Assunnah". Erti pesan ini antara lain ialah mengutamakan dalil daripada AlQuran dan Assunnah daripada segala pemikiran-pemikiran lain yang tidak bersandarkan kepada kedua perkara tersebut.
Sebagai contoh, sekiranya seseorang tersebut mengemukakan hujahnya berkenaan sesuatu perkara dengan membawa dalil daripada Assunnah yang Shohihah, manakala seorang lagi berdasarkan pemikiran yang tidak bersandarkan kepada keduanya atau salah satunya, maka sikap kita ialah mendahulukan mereka yang berhujah dengan AlQuran dan Assunnah.
Kita hendaklah teguh dalam hal ini, kerana sesungguhnya kita akan ditentang oleh mereka-mereka yang kononnya pengikut-pengikut mazhab. Sedangkan jika kita melihat Imam-Imam Mazhab sendiri melarang sesiapa pun bertaklid kepada mereka,malah salah seorang imam-imam mazhab yang agung ini pernah berkata, apabila sahih sesuatu hadis rasul s.a.w dan ianya bertentangan dengan pendapatku, aku menarik balik pendapatku itu samada semasa aku hidup atau setelah aku mati.
Sungguh dangkal mereka yang berkata imam-imam tersebut berkata demikian untuk menunjukkan betapa tawadhuknya mereka. Betapa merendah dirinya mereka. Imam-imam ini mengeluarkan perkataan tersebut kerana mereka tahu bahawa mereka tidak maksum. Tidak terlepas dari membuat kesalahan. Sebab itu banyak pesanan mereka yang menyuruh ummah supaya mendahulukan Hadis Nabi s.a.w. Jika kita betul-betul ingin menjadi pengikut mazhab yang setia/sejati contoh mazhab Al-imamus Syafie, peganglah kata-kata beliau yang agung ini iaitu " apabila shahih sesuatu hadis nabi s.a.w, maka itulah mazhabku". Ya Allah, mulianya Imam ini kerana mendahulukan kekasihMu dari segala manusia. Mereka benar-benar berpegang kepada hadis nabi s.a.w maksudnya " tidak beriman seseorang kamu sehingga dia mencintai Allah dan aku lebih daripada ibu dan ayahnya sendiri"